Wednesday, December 16, 2015

SISTEM PEMBANGUNAN FRANCAIS


Secara am, pada dasarnya perkataan francais berasal daripada perkataan Perancis yang bermakna ‘kebebasan’ atau ‘pengecualian dari cukai’. Sejarah francais telah membuktikan di mana sistem ini adalah keistimewaan atau hak yang diberikan oleh pemerintah atau golongan atasan kepada individu tertentu yang telah memenuhi beberapa kriteria bagi menjalankan sesuatu perkhidmatan atau berburu di tanah majikannya. Kemudian sistem ini telah berkembang sebagai satu sistem ekonomi yang dijalankan dalam pelbagai bentuk. Peredaran masa, pengaruh globalisasi, perkembangan teknologi dan perubahan gelagat pembelian pelanggan telah menyebabkan berlakunya pembaharuan pendekatan dalam menjalankan perniagaan ini bagi memenuhi perubahan yang sedang dan akan terus berlaku.




Terdapat beberapa definisi mengenai francais. “Vaughn” mendefinisikan;
“sistem francais sebagai satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana sebuah syarikat induk secara lazimnya memberikan kebenaran, hak atau keistimewaan kepada seseorang individu atau satu syarikat yang secara relatifnya adalah kecil untuk menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang ditentukan untuk satu jangkamasa tertentu dan pada satu tempat yang ditentukan dalam proses mengedarkan barang atau perkhidmatan yang sedia wujud.”

Dalam konsep perniagaan sebegini usahawan menggunakan kaedah atau konsep pemasaran yang telah terbukti dan pada masa yang sama mereka tidak berniaga bersendirian. Manakala menurut Fry (1993) sistem perniagaan francais didefinisikan sebagai satu sistem pemasaran di mana pemilik kepada perkhidmatan, tanda dagang produk, atau format perniagaan memberikan hak kepada individu ataupun pengedar setempat untuk memasarkan produk. Sebagai balasan pemilik perniagaan akan menerima bayaran dalam bentuk yuran francais, royalti dan membuat perjanjian untuk memenuhi piawai kualiti yang telah ditetapkan.

Kementerian Pembangunan Usahawan Perniagaan Francais mendefinisikan perniagaan francais adalah satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana syarikat induk secara lazimnya memberikan kebenaran, hak atau keistimewaan kepada individu atau syarikat yang secara relatifnya adalah lebih kecil bagi menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang telah ditentukan dalam jangka masa dan temat tertentu untuk proses mengedarkan barang atau perkhidmatan yang sedia wujud.

Dari sudut Akta Francais pula, iaitu kontrak atau perjanjian sama ada secara nyata atau tersirat, secara lisan atau bertulis di antara dua orang atau lebih di mana francaisor memberi francaisi hak untuk mengendalikan perniagaan mengikut sistem francais yang ditentukan oleh francaisor selama tempoh yang ditentukan olehnya. 

No comments:

Post a Comment